Wednesday, April 11, 2012

MANSUH PTPTN BEBAN KERAJAAN: BEBAN PELAJAR BAGAIMANA?

Isu pemansuhan PTPTN sebenarnya telah lama diperkatakan. Namun begitu terdapat banyak kesan negatif yang boleh terjadi sekiranya PTPTN di mansuhkan terutama sekali kepada para pelajar dan institusi pengajian tersebut. Hal ini kerana setiap institusi pengajian tinggi di Malaysia turut bergantung kepada dana pinjaman daripada PTPTN di mana, para pelajar membayar yuran dengan menggunakan duit pinjaman yang mereka perolehi.

Sehingga kini hamper RM40 billion dikeluarkan oleh pihak PTPTN untuk memberi pinjaman kepada puluhan ribu pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta. Tanpa PTPTN semestinya ia akan membebankan para pelajar sekaligus tidak dapat meneruskan dita-cita mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Sebagaimana yang kita tahu, di Malaysia tidak semua pelajar datang daripada keluarga yang berada di mana mereka tidak mampu untuk menanggung yuran kos pengajian yang agak tinggi. Oleh itu, dengan adanya bantuan pinjaman daripada pihak PTPTN, ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban pelajar dan membolehkan pelajar untuk meneruskan pengajian tanpa sebarang masalah.

Dengan pemansuhan PTPTN, ini bermakna puluhan Universiti dan Kolej terpaksa ditutup oleh kerana kekurangan pelajar. Sehubungan itu, ribuan orang pensyarah, pentadbir dan juga pekerja am akan kehilangan kerja oleh kerana institusi berkenaan tidak mampu untuk membayar gaji oleh kerana dana mereka berkurangan kerana kekurangan pelajar.

Untuk jangka masa panjang, keadaan ekonomi masyarakat Malaysia juga akan kembali mundur oleh kerana jumlah pemegang ijazah, diploma akan menurun secara mendadak kerana pihak kerajaan tidak mampu untuk menampung semua pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tiggi. Oleh sebab itu, kita akan kembali kepada zaman 70an dan 80an di mana majority belia dan remaja bekerja di kilang.

Memang benar bahawa terdapat beban-bebn tertentu di dalam pinjaman PTPTN di mana para pelajar terpaksa membayar pinjaman mereka bersama dengan jumlah yang tinggi kerana terdapat cukai yang di kenakan. Namun, adakah perkara tersebut memberikan beban yang melampau? Apakah cukai tersebut terlalu mahal?

Kita perlu mengambil perkara tersebut dari sudut positif di mana pihak PTPTN perlukan penambahbaikan oleh kerana tidak semua peminjam PTPTN membayar balik pinjaman mereka. Pihak PTPTN perlu mengambil tindakan dengan membuat senarai hitam dan juga daripada penolakan gaji. Selain daripada PTPTN kita tidak mempunyai sumber lain untuk memberikan bantuan pinjaman kepada pelajar dan biasiswa yang di sediakan oleh kerajaan adalah terhad dan tidak semua layak menerimanya oleh kerana terdapat syarat-syarat tertentu.

Saya amat tertarik dengan kenyataan yang di buat oleh Ketua Penerangan Pemuda PAS Riduan Mohd Nor di mana beliau menyatakan bahawa bagi pelajar yang tidak mampu dan tidak layak mendapat biasiswa, PTPTN memang menjadi "penyambung hayat" tetapi dalam masa sama didakwa bersifat menjerut.

Beliau turut menyatakan bahawa jika pemansuhan PTPTN akan membebankan kerajaan, apakah kerajaan pula tidak memikirkan bebanan yang ditanggung oleh pelajar dan anak-anak muda kerana tanggungan hutang pelajaran mereka.

Kita patut lihat dari sudut positif di mana mereka yang telah menamatkan pengajian berasa amat bersyukur kerana PTPTN telah memberikan pinjaman yang amat membantu mereka untuk meneruskan pengajian. Tanpa pinjaman PTPTN, sudah pasti mereka terpaksa mengumpul wang untuk jangka masa yang panjang untuk menampung kos pengajian mereka.

Oleh itu, kita dapat melihat bahawa PTPTN telah memberikan sumbangan dan bantuan yang banyak dalam meringankan beban pelajar jika berlakunya pemansuhan PTPTN, ia akan menimbulkan banyak masalah kepada pelajar dan insitiusi pengajian itu sendiri.

No comments:

Post a Comment